Skuad hoki remaja negara mempamerkan persembahan bertenaga selepas membelasah Oman 9-1 dalam kempen Piala Remaja Asia 2024 di Muscat, Oman. Sebelum itu mereka turut menewaskan China 5-2. – Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
PETALING JAYA: Kehadiran pakar pukulan sudut penalti, Sohail Abbas nampaknya membuahkan hasil apabila skuad remaja hoki negara berjaya mencatat kemenangan dalam dua perlawanan pertama Kumpulan B Piala Remaja Asia 2024.
Menurut Utusan Malaysia, pada aksi pertama skuad kendalian I Vikneswaran itu berjaya menewaskan China 5-2 pada Selasa lalu sebelum Young Tigers membelasah tuan rumah, Oman 9-1 di Stadium Hoki Oman, Muscat semalam.
Berdasarkan dua perlawanan tersebut, Malaysia diberi 13 pukulan sudut penalti dan berjaya menterjemahkan tujuh daripadanya untuk menghasilkan gol dan kini berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir kejohanan.
Melihat kepada situasi tersebut, Vikneswaran mengakui berasa berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan pemainnya apabila berjaya menghasilkan jaringan berpunca daripada pukulan penalti.
“Daripada segi pukulan sudut penalti kita berjaya mendapatkan beberapa gol penting dan ini merupakan sesuatu yang berkesan daripada latihan pasukan,” katanya.
Mengulas lanjut kejayaan pasukannya membelasah Oman, Vikneswaran mengakui berpuas hati dengan kejayaan pasukan apabila memastikan tiga mata penting menjadi milik pasukan.
“Kemenangan yang diraih amat penting tetapi apa yang lebih mustahak adalah pasukan dapat tiga mata penuh dan kita berjaya menjaringkan sembilan gol, ia amat berharga,” katanya.
Dalam aksi tersebut, Harris Iskandar Osman muncul wira negara selepas membuka jaringan pada minit pertama sekali gus menyumbat empat gol secara keseluruhan.
Bekas pemain skuad senior kebangsaan, Naaveenash Panicker turut menyumbat dua jaringan pada minit keenam dan ke-12 serta baki dihasilkan oleh Handzalah Abdul Hadi, Danish Aiman Khairil Anuar dan Che Nur Aqilrullah Che Khairulzi Anwar.