PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan hanya menyasarkan ‘ikan bilis’ seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya 18 ahli politik yang terlibat dalam kes rasuah telah ditahan sepanjang tempoh 2023 hingga Oktober lalu.
Daripada jumlah itu, 13 ahli politik yang direkodkan keterangan ditahan pada 2023 manakala lima lagi, tahun ini.
Berdasarkan statistik diperoleh Utusan Malaysia, ahli politik yang ditahan adalah antara 2,311 individu yang disiasat selepas disyaki menerima dan meminta rasuah dalam tempoh sama.
Semakan rekod yang diperoleh itu mendapati 954 tangkapan membabitkan penjawat awam iaitu 644 orang yang bertugas di bahagian pelaksana, diikuti pengurusan dan professional (297) dan pengurusan tertinggi (13).
Menerusi data sama, terdapat peningkatan tangkapan membabitkan penjawat awam dengan 437 orang ditahan pada 2023, meningkat 519 sejak awal tahun ini sehingga Oktober lalu.
Bagi sektor swasta, sebanyak 986 tangkapan membabitkan 507 orang pada 2023 manakala 479 orang sepanjang bulan pertama tahun ini.
Bukan itu sahaja, berdasarkan rekod diperoleh, sebanyak 303 tangkapan adalah orang awam iaitu 154 ditahan pada 2023 dan 149 orang, tahun ini.
Siasatan SPRM juga bukan menumpukan kesalahan individu sahaja, malah 50 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut direkodkan.
Selain itu, dalam aspek pendakwaan, pencapaian kes disiasat SPRM berakhir dengan sabitan berada pada paras yang baik apabila sebanyak 982 kes berjaya dituduh.
Pada April lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan SPRM menumpukan usaha memerangi rasuah secara habis-habisan.
Seri Paduka mahu memerangi ancaman rasuah sebagai musuh nombor satu negara dijadikan antara tumpuan utama dalam pemerintahannya.
Pada 11 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada perlindungan akan diberikan kepada sesiapa yang terbabit dalam kes rasuah termasuk pemberi maklumat.
Beliau berkata, dasar Kerajaan Madani hanya memberi perlindungan kepada mereka yang bersih dan tidak terbabit dengan unsur rasuah.
Sebelum ini juga, Anwar memaklumkan sasaran SPRM ketika ini adalah berkaitan kes berskala besar bagi menyelamatkan wang rakyat.
Ini kerana kes-kes kecil dengan penangkapan ikan bilis tidak akan membantu kerana rasuah sudah menjadi sesuatu yang sistemik.
Jelas beliau, SPRM juga akan melaksanakan siasatan dan pencegahan yang berkesan dan pada masa sama meningkatkan keyakinan masyarakat dalam usaha kerajaan menangani rasuah.