KABUL: Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Afghanistan mendedahkan pemerintahan Taliban menahan wartawan sebanyak 256 kali, sejak mengambil alih kuasa tiga tahun lalu dan menggesa pihak berkuasa melindungi kebebasan media.
Menurut Utusan Malaysia, wartawan di Afghanistan beroperasi dalam keadaan yang mencabar, kata misi PBB, Unama, dan Pejabat Hak Asasi Manusia PBB dalam satu kenyataan, semalam.
“Mereka sering menghadapi peraturan yang tidak jelas mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilaporkan, sekali gus berisiko diancam atau ditahan sewenang-wenangnya kerana dianggap mengkritik pihak berkuasa,” kata Perwakilan Khas Setiausaha Agung PBB, Roza Otunbayeva.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa de facto Taliban untuk menjamin keselamatan semua wartawan serta mengiktiraf kepentingan wanita dalam industri media.
Dalam respons yang disertakan bersama laporan itu, Kementerian Luar Taliban menafikan menahan jumlah wartawan itu dan mendakwa mereka ditangkap kerana melakukan jenayah.
Menurut kementerian, penahanan yang dilakukan bukan sewenang-wenangnya, tetapi melibatkan kesalahan seperti menghasut orang ramai menentang sistem, memfitnah kerajaan serta memberi laporan palsu atau bekerjasama dengan pihak yang dianggap musuh.
“Wanita masih dibenarkan bekerja dalam media, tetapi tertakluk kepada syarat tertentu yang mematuhi peraturan moral agama, seperti menutup wajah dan bekerja secara berasingan daripada lelaki,” jelas kenyataan itu.
Misi PBB turut menyatakan kebimbangan dengan sekatan terhadap wanita, yang menjadi penghalang kepada pengiktirafan rasmi pemerintahan Taliban oleh mana-mana kerajaan asing.
Sejak mengambil alih kuasa pada 2021, Taliban berjanji untuk mengembalikan keselamatan negara, namun sejak akhir-akhir ini mereka mula melaksanakan undang-undang Islam yang ketat.
Menurut laporan, pentadbiran Taliban masih belum diiktiraf oleh mana-mana kerajaan antarabangsa, dengan negara Barat menuntut pembaharuan hak asasi manusia, terutama berkaitan kebebasan wanita, sebelum mempertimbangkan pengiktirafan.


































