Rang undang-undang akan diperkenalkan ke Parlimen tahun ini dan dijangka berkuat kuasa 12 bulan selepas diluluskan.- Gambar Hiasan
SYDNEY: Kerajaan Australia mengancam untuk mengenakan denda berjuta-juta dolar kepada syarikat media sosial yang melanggar larangan terhadap kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan perkhidmatan mereka.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Michelle Rowland memperkenalkan pindaan Akta Keselamatan Dalam Talian di Parlimen pada Khamis, yang digambarkan oleh kerajaan sebagai ‘reformasi media sosial terkemuka di dunia’.
“Kerajaan Albanese sedang memperkenalkan undang-undang bertaraf dunia untuk menetapkan umur minimum 16 tahun bagi akses ke media sosial.
“Reformasi ini bertujuan melindungi golongan muda dan memberikan keyakinan kepada ibu bapa bahawa kami menyokong mereka,” kata Rowland dalam satu kenyataan.
Undang-undang itu termasuk penalti kewangan sehingga 50 juta dolar Australia (RM145 juta) bagi syarikat yang gagal mengambil langkah sewajarnya untuk mencegah pengguna bawah umur yang dibenarkan membuka akaun.
Larangan itu dijangka melibatkan media sosial seperti TikTok, X, Instagram dan Snapchat, walaupun senarai perkhidmatan yang dilarang belum dikeluarkan.
Bagaimanapun, pengkritik menyifatkan larangan itu adalah pendekatan kasar, yang mungkin mengurangkan akses remaja kepada rangkaian sokongan dan mewujudkan risiko lebih besar bagi mereka yang melanggar larangan tersebut.
Undang-undang itu mendapat sokongan dwipartisan dan jika diluluskan akan berkuat kuasa dalam tempoh setahun.
“Undang-undang itu meletakkan tanggungjawab kepada platform media sosial, bukan kepada ibu bapa atau anak-anak, untuk memastikan perlindungan dilaksanakan.
“Matlamatnya adalah menyokong persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan sihat untuk remaja Australia,” kata Rowland.
Rang undang-undang itu muncul selepas beberapa kes berprofil tinggi melibatkan kanak-kanak membunuh diri akibat buli dalam talian, serta aduan daripada ibu bapa mengenai tekanan yang dihadapi anak-anak mereka.
Ramai ibu bapa dan penyokong larangan itu memuji rang undang-undang tersebut sebagai langkah yang lama tertangguh untuk menuntut akauntabiliti daripada syarikat teknologi terhadap alat yang digunakan oleh kanak-kanak Australia dalam talian.


































