Kontrak Angel Gomes bersama Lille akan berakhir akhir tahun ini dan Manchester United bersedia melamarnya.
LONDON: Manchester United dilaporkan sedang berusaha untuk membawa masuk semula bekas pelatih akademinya Angel Gomes ke Old Traffod pada musim depan.
Menurut Utusan Malaysia, Gomes, 24, pernah menjadi pemain keempat paling muda tampil dalam aksi bersama United semasa berusia 16 tahun dalam kancah Liga Perdana menentang Crystal Palace pada 2017.
Bagaimanapun, dia yang menyertai akademi United sejak usianya enam tahun, bergelut dengan masalah prestasi tiga tahun selepas itu dan hanya berpeluang beraksi dalam 10 perlawanan sepanjang musim sebelum dilepaskan pada 2020.
Gomes kemudian menyertai Lille dan mengikat kontrak selama lima tahun dengan kelab Perancis itu dan mula menunjukkan peningkatan permainan, malah pemain yang beraksi di posisi tengah itu turut dipanggil menyertai skuad England awal musim ini.
Kontrak bersama kelab Perancis itu akan berakhir pada akhir musim ini dan setakat ini tiada berita mengenai perkembangan pemain terbabit akan ditawarkan perjanjian baharu.
Menurut The Sun, United merancang untuk mendapatkan Gomes dengan perpindahan percuma memandangkan pemain itu dianggap sasaran terbaharu musim depan.
Laporan itu turut mendakwa cadangan membawa masuk Gomes bertujuan mengukuhkan pasukan di bawah bos baharu, Ruben Amorim yang turut dikatakan sudah lama meminati pemain terbabit yang juga mendapat pujian menggunung daripada pihak pengurusan United, Dan Ashworth dan Jason Wilcox.
Pemain itu yang turut diintai Arsenal dan Totttenham Hotspur dikatakan akan mengambil tempat Casemiro untuk pelan jangka panjang di United.
Sementara itu, Lille dikatakan bersedia untuk berbincang lanjut mengenai cadangan perpindahan percuma melibatkan pemain terbabit pada Januari ini dan besar kemungkinan bersetuju menandatangani pra kontrak.


































