Lee Zii Jia mahu menamatkan musim yang sempurna apabila bakal membuat penampilan ketiga pada Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China, Disember ini.
PETALING JAYA: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia mahu menamatkan musim yang sempurna apabila bakal membuat penampilan ketiga pada Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China, Disember ini.
Menurut Utusan Malaysia, anak jati Alor Setar itu berkata, beliau semakin bersemangat untuk beraksi pada kejohanan terakhir musim 2024 selepas kali terakhir membuat penampilan pada edisi 2021 di Bali, Indonesia yang mana berjaya mara ke separuh akhir.
“Ia sesuatu yang amat positif apabila berjaya layak ke Jelajah Dunia Akhir selepas dua tahun tidak bermain. Saya teruja untuk kembali beraksi dalam kejohanan itu. Saya harap, kali saya mampu untuk mendapatkan keputusan jauh lebih baik daripada sebelum ini,” kata Zii Jia menerusi laman X Team LZJ.
Pemain No. 7 dunia itu berdepan dengan detik cemas sebelum layak ke Jelajah Dunia Akhir apabila tersingkir pada perlawanan pusingan pertama China Masters 2024 di Shenzen, Rabu lalu.
Zii Jia yang menghuni di ranking keenam Jelajah Dunia bagaimanapun, mampu menarik nafas lega selepas dua pencabar terdekatnya dari Jepun, Koko Watanabe dan pemain China, Li Shi Feng terkandas pada pusingan pertama China Masters.
Kekalahan dua pemain itu menyaksikan kedudukan pemain berusia 26 tahun itu berada dalam kelompok tujuh terbaik ranking Jelajah Dunia sekali gus mengesahkan tiket untuk beraksi di Hangzhou.
Mengikut format pertandingan, hanya lapan pemain teratas menerusi ranking Jelajah Dunia layak ke Hangzhou dengan pemain Denmark, Viktor Axelsen mendapat slot automatik selaku pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.
Jelajah Dunia Akhir 2024 dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 15 Disember ini dan menawarkan hadiah wang tunai secara keseluruhan sebanyak AS$2.5 juta (RM11.18 juta).
Untuk rekod, Zii Jia selaku pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 berjaya merangkul dua kejohanan menerusi Terbuka Thailand dan Australia pada musim ini.


































