Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri belum mempunyai rancangan untuk membina atau menaik taraf pejabat Jabatan Tanah Dan Ukur (JTU) daerah Ranau.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Kerajaan Negeri mengambil maklum akan keadaan pejabat JTU daerah Ranau yang sempit dan kurang kondusif.
Beliau berkata, perkara ini akan dikaji terlebih dahulu sama ada ianya perlu dinaik taraf atau mewujudkan sebuah pejabat baharu untuk JTU di daerah Ranau melalui permohonan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau menjawab soalan lisan daripada Datuk Amisah Yassin (ADUN Dilantik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Amisah bertanya adakah Kerajaan mempunyai perancangan untuk membina Pejabat baharu JTU Ranau memandangkan kini pejabat tersebut terlalu sempit dan perlu dinaik taraf.
Mengenai status terkini pembinaan pejabat JTU di daerah Telupid, beliau berkata, kerja-kerja Penyiasatan Tanah atau Soil Investigation yang bertujuan mengumpul maklumat serta penilaian data untuk mengetahui potensi bahaya tapak akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada awal tahun hadapan.
“Sebaik sahaja kerja-kerja penyiasatan tanah dan tapak dikenal pasti, pihak Jabatan Kerja Raya akan membuat reka bentuk bangunan dan anggaran kos bagi pembinaan bangunan tersebut,” katanya.
































