Mohd. Arsad Bistari
KOTA KINABALU: ADUN Tempasuk, Datuk Mohd. Arsad Bistari menjelaskan bahawa perbualan beliau dalam rakaman yang disunting dan disebar dengan niat jahat itu dilakukan secara berseloroh dan bukan dalam konteks serius.
“Saya mengesyaki individu yang bertemu dengan saya mempunyai niat yang tidak jelas, dan atas tanggapan itu saya berbual secara sarkastik dan tidak formal.
“Oleh itu, adalah tidak wajar untuk merumuskan bahawa perbualan itu merupakan pengakuan atau tindakan yang bersifat melanggar undang-undang.
“Ia adalah komunikasi bersifat ringan, yang kini dimanipulasikan untuk memberi gambaran negatif terhadap saya.
“Tuduhan bahawa saya menerima komisen atau ‘jolok’ adalah satu fitnah yang tidak berasas dan direka untuk merosakkan reputasi saya di mata masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Arsad turut memperjelaskan bahawa beliau menghormati kedudukan serta budi bicara Datuk Seri Masidi Manjun selaku Menteri Kewangan dan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, selaku Ketua Menteri.
“Tuduhan bahawa saya menyalahkan mereka atau menyatakan projek saya “dihalang” adalah tidak benar dan sengaja diputar belit termasuk dakwaan penglibatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Pantai Dalit, Tanjung Batu dan Labuk dalam perbualan itu.
“Saya hanya merujuk kepada cabaran dalam melaksanakan projek besar di Sabah, di mana proses kelulusan melibatkan banyak pihak dan tahap prosedur yang tinggi,” katanya.
Mohd. Arsad berkata, beliau bersedia dan komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain sekiranya diperlukan.
“Saya juga telah mengarahkan peguam saya untuk meneliti segala tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap individu atau pihak yang masih menyebarkan maklumat yang salah atau memutarbelitkan kenyataan saya. Laporan polis juga telah dibuat bagi tindakan selanjutnya.
“Saya menggesa media dan semua pihak agar bersikap objektif dan adil dalam melaporkan isu ini. Berikan ruang kepada proses undang-undang dan tidak menjatuhkan sebarang hukuman atau kesimpulan yang boleh mengelirukan masyarakat.”


































