KOTA KINABALU: Program Kesihatan dan Derma Darah ‘Lead With Life’ yang diadakan oleh Exco Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di sini baru-baru ini menerima sambutan luar biasa dari penderma darah kali pertama.
Diketuai oleh Pengerusi Biro Kesihatan Exco Pergerakan Wanita, Dr. Davina Markus Majihi, inisiatif tersebut menyaksikan jumlah pendaftaran penderma kali pertama melebihi dari sasaran awal sebanyak 108 peratus.
Walaupun terdapat beberapa cabaran, 68 peratus daripada penderma yang mendaftar berjaya menderma darah dengan jayanya.
Dr. Davina menzahirkan penghargaan mendalam kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan program ini.
“Kami sangat terharu dengan sokongan yang luar biasa, terutamanya daripada golongan belia, dan sukarelawan wanita yang tampil untuk membuat perubahan sebagai penderma darah kali pertama.
“Kempen ini menunjukkan kekuatan komuniti kita dan kami amat bersyukur.”
Dr. Davina turut mengakui beberapa aspek yang perlu ditambah baik dalam program tersebut, seperti memperkukuh garis panduan pra-derma dan langkah persediaan untuk penderma baharu.
“Setiap kempen memberi kami pelajaran yang berharga dan kami komited untuk menambah baik proses ini bagi memastikan kelancaran program di masa hadapan,” katanya.
Kecekalan Dr. Davina dalam memperkukuhkan budaya derma darah dalam komuniti tetap teguh.
Beliau menekankan keperluan penting untuk lebih ramai penderma dan menggalakkan semua untuk terus menyokong kempen-kempen dan program-program akan datang.
“Kepada semua yang menyumbang, daripada penderma kepada organisasi yang berkolaborasi, terima kasih kerana menjayakan program ini. Bersama-sama, kita mencipta impak yang kuat, satu derma pada satu masa.”
Program ‘Lead With Life’ ini telah menetapkan penanda aras baharu untuk kempen derma darah pada masa hadapan, dan
Dr. Davina menanti dengan penuh harapan untuk meneruskan misi ini dalam membina Sabah yang lebih sihat.


































