Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Harga kenderaan elektrik (EV) yang mahal dan faktor keselamatan seperti kereta mudah terbakar menyebabkan Malaysia masih jauh mencapai sasaran jualan yang ditetapkan kerajaan.
Menurut Utusan Malaysia, Pengasas Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya, Jamil Manan Supri berkata, kenderaan EV yang diimport sepenuhnya (CBU) biasanya dikenakan kos yang lebih tinggi berbanding model pemasangan tempatan (CKD) kerana melibatkan duti import dan kos pengangkutan.
Katanya, ia menjadikan harga EV kurang kompetitif di pasaran tempatan, sekali gus menghalang ramai pengguna daripada beralih kepada teknologi hijau ini.
Khamis lalu, media melaporkan, Malaysia masih jauh daripada sasaran jualan 20 peratus EV menjelang 2030 seperti yang ditetapkan kerajaan, dedah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.
“Jualan EV berada pada 1.2 peratus pada tahun lalu, sebelum meningkat kepada 2.6 peratus daripada keseluruhan jumlah keseluruhan kenderaan (TIV) pada separuh pertama tahun ini,” katanya.
Tambah Manan, risiko kebakaran yang melibatkan kenderaan EV juga menyebabkan ramai pengguna takut untuk menggunakannya.
“Kebakaran melibatkan kereta elektrik arang sekali berlaku, tetapi jika ia berlaku maka proses pemadaman api yang dihasilkan oleh bateri yang terbakar akan mengambil masa lama untuk dipadamkan dan juga sangat rumit.
“Bukan itu sahaja masalah kekurangan pusat mengecas juga merupakan salah satu punca kenderaan EV kurang mendapat sambutan.
“Masa mengecaj yang lama dan jarak perjalanan yang terhad juga menimbulkan kesukaran bagi pengguna,” katanya.
































