Mayat penjenayah warga Vietnam yang mati ditembak dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
KUALA LUMPUR: Empat penjenayah warga Vietnam yang disyaki terbabit dalam 44 kes tebuk peti besi di sekitar Lembah Klang, sejak 2018 akhirnya maut selepas ditembak polis malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, keempat-empat suspek ditembak oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kuala Lumpur selepas menyerbu unit kediaman di tingkat 17, sebuah residensi di Jalan Imbi, di sini pukul 11.30 malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua suspek berusia 40-an didapati cuba melepaskan tembakan ke arah pihak polis dalam Operasi Tebuk (Op Tebuk) ini.
“Semasa proses melakukan tangkapan cuba dibuat, suspek dikesan melepaskan tembakan secara tiba-tiba sehingga berlaku situasi berbalas tembakan dan dalam usaha mempertahankan diri dapat menembak mati kesemua mereka.
“Hasil pemeriksaan polis mendapati suspek bersenjatakan dua parang dan dua pistol yang digunakan untuk menyerang pihak polis,” katanya di sini.
Rusdi berkata, hasil siasatan polis mendapati suspek dipercayai sering keluar dan masuk ke negara ini dan sudah mengaut RM4.3 juta hasil daripada jenayah dilakukan.
Beliau berkata, kumpulan ini akan melakukan pecah rumah, pecah pejabat sebelum menebuk peti besi dari premis yang menjadi sasaran mereka.
Kata beliau, secara kebiasaannya suspek mensasarkan pejabat dan kediaman yang tidak berpenghuni selepas melakukan pemerhatian sebelum melakukan jenayah.
“Kali terakhir suspek dilaporkan melakukan jenayah yang terbaru dua hari lalu Sri Hartamas, di sini sebelum kembali menyembunyikan diri di lokasi yang diserbu malam tadi.
“Kita juga percaya mereka ini menjadikan unit kediaman mewah di sini sebagai tempat perancangan jenayah, berehat serta menyembunyikan diri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Rusdi berkata, daripada siasatan mendapati, kesemua suspek mempunyai pasport ini sangat berbahaya dan sukar untuk diberkas kerana kelicikan mereka.
Beliau memberitahu, mereka ini bergerak melakukan jenayah pada waktu malam dan tidak meninggalkan kesan selain wajah mereka amat sukar terakam pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk dikenalpasti.
Beliau berkata, siasatan lanjut kini sedang diteruskan baki mengesan saki-baki kumpulan ini dan juga dalam proses melengkapkan siasatan atas jenayah yang dilakukan mereka.
“Mayat kesemua suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat,” katanya.

































