KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menawarkan tukar nilai kupon parkir fizikal (gores) kepada nilai kredit dalam aplikasi Sabah Smart Parking, berikutan penggunaan kupon fizikal (gores) yang akan tamat pada Sabtu ini (Nov 16).
Mayor Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah yang mengumumkan ini berkata, DBKK menyarankan agar pengguna ruang letak kereta awam bandar raya untuk memuat turun aplikasi Sabah Smart Parking yang boleh didapati di Google Playstore, Apple Appstore atau Huawei App Gallery dan berdaftar sebagai pengguna untuk memudahkan proses pertukaran nilai fizikal kepada nilai kredit dalam aplikasi Sabah Smart Parking.
Beliau memberi jaminan kepada semua pengguna yang masih mempunyai kupon fizikal yang belum terpakai atau belum tamat tempoh boleh membuat pertukaran kepada nilai kredit dalam akaun aplikasi Sabah Smart Parking pengguna masing-masing selepas tarikh tamat penggunaan kupon fizikal iaitu 16 November.
Menurutnya, DBKK melalui DBKK Holdings Sdn Bhd (DBKKH), akan menganjurkan program “Tukar Nilai Kupon Letak Kereta Fizikal(Gores) Kepada Nilai Kredit Dalam Aplikasi Sabah Smart Parking”.
Program ini diadakan bagi membolehkan pengguna mendapatkan perkhidmatan pertukaran nilai kupon fizikal (Gores) kepada nilai kredit dalam aplikasi Sabah Smart Parking secara terus.
Maklumat lanjut adalah seperti berikut:
Tarikh : 14 – 30 November 2024
Masa : 9 pagi – 5 petang
Tempat : Aras 2, Blok B, Bangunan KK Sentral, Kota Kinabalu
Dr. Sabin berkata, para pengguna yang tidak dapat hadir ke program tersebut masih boleh membuat pertukaran nilai kredit di Pejabat Bahagian Pengurusan Letak Kereta, KK Plaza atau di mana-mana kaunter/pondok perkhidmatan tempat letak kereta di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
Perkhidmatan lain turut disediakan sepanjang program ini antaranya ialah pembelian kredit bagi pembayaran caj letak kereta; bantuan memuat turun aplikasi; pembelian kredit/tambah nilai bagi aplikasi SSP; dan semakan dan pembayaran kompaun serta lain-lain.
Beliau turut memaklumkan bahawa matlamat utama Sabah Smart Parking diperkenalkan adalah untuk mengintegrasikan seluruh sistem pembayaran caj letak kereta yang selama ini menggunakan kupon fizikal kepada sebuah aplikasi digital secara berpusat demi kemudahan orang awam.
“Sehingga kini, Sabah Smart Parking mempunyai lebih 82,000 pengguna yang telah berdaftar. Diharap dengan program ini semua pengguna mendapat perkhidmatan yang cukup dan membantu DBKK dalam mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan,” katanya.


































