KUALA TERENGGANU: Seorang ejen insurans berputih mata kerugian RM176,500 selepas terpedaya dengan skim pelaburan yang tidak wujud dalam laman sosial Facebook.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, warga emas tersebut terpikat dengan keuntungan yang dijanjikan oleh skim pelaburan yang diiklankan oleh Bank of China Investment (BOCI) ketika melayari Facebook pada 5 Ogos lalu.
Menurutnya, mangsa yang berasal dari Kuala Terengganu telah menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp sejurus melihat iklan tersebut.
Katanya, mangsa sangat teruja apabila dijanjikan keuntungan 65 peratus daripada wang yang dilaburkan.
“Oleh itu, mangsa telah melakukan 10 kali pemindahan wang ke empat akaun berlainan berjumlah RM176,500 bermula 10 September hingga 31 Oktober lalu.
“Mangsa kemudiannya diberi keuntungan dalam sistem aplikasi group VIPDB3-BOCI Investment Club berjumlah RM2 juta.
“Malangnya, wang tersebut tidak boleh dikeluarkan dan pelbagai bayaran diminta dengan alasan untuk mengeluarkan wang terbabit secara tunai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azli berkata, mangsa yang berasa tertipu kemudian tampil membuat laporan polis petang semalam.
Menurutnya semua wang yang dilaburkan adalah hasil simpanan dan kad kredit milik mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Saya ingin mengingatkan orang awam supaya jangan mudah terpedaya dengan skim pelaburan di laman sosial.
“Walaupun pelbagai peringatan telah diberi dan diwar-warkan oleh pihak berkuasa, masih ramai yang terpedaya dan menanggung kerugian besar,” katanya.




























