LONDON: Seorang remaja warga Malaysia berdepan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan menyerang dua pelajar di United Kingdom (UK) dengan menggunakan tukul, tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Daily Mail melaporkan, tertuduh, Thomas Wei Huang, 17, dikatakan mempelajari tindakan sedemikian selepas melakukan penyelidikan secara dalam talian mengenai pembunuhan bersiri dan kaedah membunuh.
Hakim Johannah Cutts berkata, Wei Huang merancang serangan terlebih dahulu dan remaja itu mengetahui akibat yang boleh membawa maut kesan daripada tindakannya.
Cutts menegaskan tindakan itu menimbulkan risiko besar untuk tertuduh mengulangi tingkah laku sama sehingga mengundang tahap bahaya yang tinggi kepada orang ramai.
Insiden tercetus selepas Wei Huang bertelagah dengan seorang mangsa selepas dirinya dihina semasa kelas pelajaran Sains yang turut membabitkan seorang lagi pelajar perempuan.
Suspek yang ketika itu berusia 16 tahun, menyerang dua remaja lelaki di asrama Sekolah Blondell di Tiverton, Devon, Jun tahun lalu.
Serangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami keretakan pada bahagian tengkorak dan kecederaan pada tulang rusuk, limpa dan paru-paru.
Seorang mangsa lagi mengalami kecederaan pada bahagian paru-parunya.
Dalam pada itu, Wei Huang juga menyerang guru yang cuba campur tangan dengan memukulnya berulang kali di bahagian kepala dengan tukul tersebut.
Peguam tertuduh, Kerim Fuad KC menyifatkan kes terbabit sebagai tragis dan luar biasa akibat tekanan melampau peperiksaan, isu peribadi dan dakwaan eksploitasi seks yang mendorong serangan berlaku.