WASHINGTON: Berbaki tiga hari lagi menjelang pengundian 5 November, perlumbaan antara calon Presiden Republikan, Donald Trump dan pesaingnya daripada Demokrat, Kamala Harris kekal sengit.
Menurut Utusan Malaysia, Makmal Pilihan Raya Universiti Florida menyatakan, lebih daripada 62 juta pengundi sudah melaksanakan pengundian awal.
Tinjauan pendapat terus menunjukkan Harris mendahului tipis, dengan berada di hadapan sebanyak 1.4 mata berbanding Trump.
Masing-masing kini semakin rancak menyerang dan melancarkan perang saraf antara satu sama lain, khususnya di negeri-negeri penting.
PENIPUAN PENGUNDI
Trump dan penyokongnya menyebarkan dakwaan palsu mengenai pilihan raya di Pennsylvania pada Selasa, meningkatkan kebimbangan di negeri yang menjadi penentu kepada keputusan perlumbaan.
Trump mengulangi tuduhan tidak berasasnya bahawa siasatan terhadap borang pendaftaran pemilih yang mencurigakan adalah bukti penipuan pengundi.
Beberapa penyokongnya juga mendakwa berlaku penindasan pengundi apabila barisan panjang terbentuk minggu ini untuk mendapatkan undi pos.
Seorang hakim melanjutkan tarikh akhir undi pos selama tiga hari di Bucks County, utara Philadelphia selepas kempen bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu memfailkan tuntutan mendakwa beberapa pengundi ditolak sebelum tarikh akhir Selasa.
Pegawai pilihan raya menemukan pendaftaran yang berpotensi penipuan di Lancester dan daerah York, mendorong penyiasatan oleh penguatkuasa undang-undang tempatan.
Bagaimanapun, tiada bukti permohonan akan membawa kepada undi tidak sah.
“Ini menunjukkan langkah keselamatan dalam proses pendaftaran pemilih kita berfungsi,” kata pegawai pilihan raya tertinggi Pennsylvania, Al Schmidt, minggu ini.
Trump, yang terus menuduh kekalahannya kepada Presiden Joe Biden pada 2020 adalah akibat penipuan, kini turut mendakwa kedudukan beliau sedang mendahului Harris.
“Kita akan meraih kemenangan besar,” katanya kepada penyokong di Wisconsin pada Rabu lalu.
Beliau turut percaya wujud salah laku dan penipuan sekiranya keputusan pemilihan kali ini gagal berpihak kepada dirinya.
Dakwaan Trump itu menimbulkan kebimbangan beliau mungkin sekali lagi menyalahkan kekalahan di Pennsylvania, atas dakwaan penipuan pengundi.
PANCING SOKONGAN WANITA
Sementara itu, Harris dalam perhimpunan di Phoenix, Arizona kelmarin, membidas kenyataan Trump yang dianggap tidak menghormati kebebasan dan hak golongan wanita.
Naib Presiden AS itu berkata, kenyataan Trump untuk melindungi wanita sama ada ‘suka atau tidak’ menunjukkan calon Republikan itu gagal memahami hak wanita untuk membuat keputusan mengenai kehidupan mereka.
“Adakah semua mendengar apa yang dia (Trump) katakan semalam, bahawa akan melakukan apa yang dia mahu sama ada wanita suka atau tidak.
“Saya rasa ia menghina semua orang. Dia jelas tidak menghormati kebebasan wanita untuk membuat keputusan mengenai kehidupan mereka, termasuk tubuh mereka sendiri,” katanya.
Kenyataan Trump dibuat ketika beliau bergelut untuk mendekati pengundi wanita, sementara Harris mengambil peluang ‘memancing’ sokongan kelompok ini daripada kedua-dua parti dengan mengangkat mesej berpaksikan kebebasan.
Calon Demokrat itu berkata, wanita seharusnya bebas untuk membuat keputusan mengenai tubuh mereka, dan mendakwa lebih banyak sekatan akan dikenakan jika Trump dipilih.
Harris mengaitkan komen Trump dengan pendekatannya terhadap hak reproduktif, tetapi Trump mendakwa kenyataan itu merangkumi perlindungan wanita daripada penjenayah, pengganas dan musuh asing.


































