Dr. Joachim (duduk, tiga dari kiri), Hajiji (duduk, empat darı kanan) bergambar kenangan bersama dengan semua Perwakilan yang hadir dalam majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS kali ke-39.
PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak pernah tersasar dari matlamat asal perjuangan dan sentiasa meletakkan kepentingan kestabilan politik Sabah sebagai asas utama, kata Pemangku Presiden parti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Menurut beliau, kritikan yang dihadapi PBS di sepanjang perjuangannya tidak melemahkan semangat parti, malah menguatkan iltizam untuk terus berpegang kepada pendirian politik yang jitu.
“PBS adalah lambang keteguhan Sabah. Perjuangan ini bukan sekadar politik, tetapi tentang mempertahankan maruah dan kedaulatan negeri tercinta.
“Di kala orang lain memilih jalan mudah dengan melompat parti, PBS tetap utuh, setia kepada perjuangan rakyat Sabah. Parti ini adalah mercu tanda patriotisme yang teguh, dan setiap langkah diambil dengan penuh keberanian demi Sabah yang lebih sejahtera,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-39 di Dewan Hongkod Koisaan, di sini, hari ini.

Dr. Joachim (tiga darı kiri) menyampaikan cendera mata kepada Hajiji dalam majlis Peramian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS kali ke-39 sambil disaksikan oleh Timbalan-Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim (dua darı kiri), Datuk Seri Panglima Dr. Yee Moh Chai (dua dari kanan); Pengasas dan Pengerusi Penasihat Perdana, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (tiga dari kanan), Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki (kiri) dan Ketua Penerangan, Datuk Joniston Bangkuai.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyempurnakan perasmian itu.
Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, sejak penubuhannya pada tahun 1985, PBS telah melalui gelombang perjuangan yang tidak pernah surut.
“’Semangat 85′ adalah simbol kebangkitan rakyat Sabah, dan PBS telah menjadi barisan hadapan dalam mempertahankan hak-hak dan kepentingan rakyat negeri ini. Walau menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran, jatuh bangun dalam arena politik, PBS tetap teguh dengan prinsip perjuangannya, tidak gentar untuk melawan apa jua halangan yang mendatang.
“Sebagai parti pembangkang pada awal penubuhannya, PBS berjuang tanpa mengenal lelah. Keberanian dan dedikasi dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah akhirnya membawa PBS ke puncak, menjadi parti pemerintah ketika itu. Namun, pergolakan politik yang berlaku pada tahun 1994, telah memaksa PBS kembali ke gelanggang pembangkang. Walaupun ini satu episod yang perit, PBS tidak pernah luntur semangat. Lapan tahun sebagai pembangkang memperkukuh azam dan semangat PBS, akhirnya pada tahun 2002 kembali ke pangkuan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah pada ketika itu.
“Namun begitu, sejarah berulang lagi pada tahun 2018 apabila tsunami politik terbesar yang melanda negeri dan negara kita telah mengubah landskap politik secara keseluruhan dengan begitu signifikan sekali. Pada masa itu, PBS (bersama rakan-rakan lain) sekali lagi bercekal hati meneruskan perjuangan di pihak pembangkang. Pengkhianatan lompat parti yang melibatkan dua wakil rakyat PBS hanya menjadi ujian kepada kekuatan dan tekad PBS.
“Syukur, Undang-undang Anti Lompat Parti kini telah dilaksanakan semula di Sabah (dan Malaysia). PBS merupakan parti pertama yang telah memperkenalkan undang-undang anti lompat parti ketika menerajui kerajaan negeri pada tahun 1988. Ia dibentang dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sabah. Namun, undang-undang tersebut diisytiharkan sebagai ultra vires dengan Perlembagaan Persekutuan dan terbatal pada ketika itu. Berkat kegigihan kita memperjuangkan kepentingan pelaksanaan undang-undang ini, ia kembali dilaksanakan 35 tahun selepas ia mula-mula diperkenalkan oleh PBS,” jelasnya.
PBS kini berada dalam GRS, sebuah gabungan parti tempatan dipimpin oleh Hajiji yang ditubuhkan dengan tujuan memperkukuhkan perpaduan antara pelbagai parti politik di Sabah, dengan matlamat utama mencapai kestabilan politik dan kemajuan ekonomi bagi negeri ini.
Dr. Joachim berkata, PBS komited untuk terus memperkukuhkan hubungan dengan rakan-rakan dalam GRS sebagai tanda kesetiaan dan dedikasi terhadap usaha membina Sabah yang lebih stabil dan maju.
Katanya, penglibatan PBS dalam gabungan ini bukan sekadar mencerminkan perpaduan politik, tetapi juga menunjukkan keikhlasan PBS dalam mewujudkan kerjasama erat demi kepentingan rakyat.
“Di dalam GRS, PBS memastikan setiap keputusan dibuat dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Melalui gabungan ini, PBS turut serta membantu kerajaan merealisasikan pelbagai inisiatif di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya seperti Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), yang memberi bantuan rumah kepada rakyat termiskin dan yang memerlukan.
“Selain itu, kejayaan dalam meningkatkan pelaburan dan pemulihan ekonomi yang kukuh di bawah kepimpinan GRS menegaskan bahawa perpaduan dalam gabungan ini memberikan hasil yang nyata,” ujarnya.
Beliau berkata, PBS percaya bahawa dengan meneruskan kerjasama erat dalam GRS, mereka akan mampu terus memajukan Sabah ke arah kestabilan politik dan ekonomi yang berpanjangan.
“Dengan semangat perjuangan yang tulus dan keikhlasan yang tidak pernah luntur, PBS akan terus memainkan peranannya sebagai sebuah parti yang menjunjung tinggi hak-hak rakyat Sabah.
“Kita akan kekal teguh dalam memastikan hak dan kepentingan negeri ini sentiasa dipertahankan, sambil memperkukuh hubungan dengan gabungan pemerintah demi masa depan yang lebih cerah.”
Usaha memperkuat GRS melalui kerjasama PBS-STARSABAH
Dr. Joachim berkata, PBS komited untuk memastikan kemenangan GRS di kawasan yang diwakili parti.
April lalu, PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan mengeratkan kerjasama dalam isu-isu penting yang dekat di hati rakyat Sabah.
Beliau berkata, perjuangan untuk mendapatkan kembali satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak adalah isu yang amat penting dalam kerangka hubungan antara negeri-negeri Borneo dengan Kerajaan Persekutuan.
“Sejak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimeterai, Sabah dan Sarawak sepatutnya mempunyai perwakilan yang signifikan di Parlimen Malaysia, dengan satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen diperuntukkan kepada dua negeri ini. Ini bertujuan memastikan bahawa suara Sabah dan Sarawak dalam soal dasar negara, pembangunan dan hak autonomi sentiasa mendapat perhatian sewajarnya.
“Banyak lagi tuntutan kita terhadap Kerajaan Persekutuan, namun PBS berterima kasih kepada Kerajaan GRS yang sudah banyak tuntutan Sabah yang tertunai melalui perundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan. yang lebih penting ada tersedia forum di mana kita dapat meluahkan tuntutan ini secara formal dan teratur, seperti Mesyuarat Jawatankuasa MA63, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri dan Jawatankuasa teknikal yaang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II. We know that it not easy but as long as there is a proper channel for discussion, I believe there is hope for Sabah yet.
“Kerjasama antara PBS dan STARSABAH, melalui MoU yang dimeterai, menegaskan komitmen kedua parti ini untuk memperjuangkan hak ini. Pengembalian satu pertiga kerusi Parlimen bukan sekadar soal perwakilan, tetapi juga satu pengiktirafan terhadap status istimewa Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia. Ia bertujuan mengimbangi kuasa dalam Parlimen dan memastikan bahawa kepentingan Sabah dan Sarawak dilindungi dengan lebih efektif, terutama dalam membuat keputusan dasar-dasar nasional yang memberi kesan kepada kedua-dua negeri.
“PBS, bersama rakan-rakan parti lain dalam GRS, perlu bertekad untuk memastikan Sabah bukan sahaja kekal relevan dalam landskap politik nasional tetapi juga diberi kedudukan yang sepatutnya. Pengembalian satu pertiga kerusi Parlimen adalah langkah penting ke arah merealisasikan visi untuk memperkasakan Sabah dan Sarawak, memastikan negeri-negeri ini tidak diabaikan dalam perjalanan politik Malaysia.”
































