Antara warga asing ditahan JIM dengan menyamar sebagai ahli sukan di Kuala Lumpur. – Gambar JIM
PUTRAJAYA: Membawa masuk warganegara asing khususnya dari Bangladesh dengan menyamar sebagai ahli sukan kononnnya bagi menyertai satu pertandingan sukan di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, itu modus operandi satu sindiket membawa masuk warga asing yang berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas kesemua 21 orang yang terlibat ditahan dalam operasi khas pada 3 Oktober lalu di Maluri Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan tiga lelaki warganegara Bangladesh yang dipercayai sebagai ‘sindiket’.
“Dua lelaki warganegara Bangladesh yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) manakala seorang lelaki warganegara Bangladesh telah tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Zakaria berkata, turut ditahan di lokasi yang sama seramai 18 orang lelaki warganegara Bangladesh yang kesemuanya berjumlah 21 orang berusia di antara 21 hingga 33 tahun.
Katanya, pasukan operasi merampas sebanyak 18 naskhah pasport Bangladesh, wang tunai RM990 dan surat jemputan untuk menyertai pertandingan sukan beserta jadual pertandingan di negara ini yang dipercayai palsu.
“Modus operandi sindiket adalah membawa masuk warganegara asing terutamanya warganegara Bangladesh dengan menyamar sebagai ahli sukan dengan berpakaian sukan, menempah tiket untuk pulang semula ke Bangladesh.

































