Pelancong mengambil gambar matahari terbenam di sepanjang Sungai Chao Phraya di Bangkok,Thailand.
BANGKOK: Kementerian Luar Thailand memperkenalkan Visa Destinasi Thailand (DTV) dalam usaha menarik warga asing untuk mengembara ke negara ini sambil bekerja secara jarak jauh.
Menurut Utusan Malaysia, dalam pengumuman inisiatif itu kelmarin, Menteri Luar, Maris Sangiampongsa berkata, DTV direka untuk memenuhi keperluan golongan ‘nomad digital’ yang ingin tinggal lebih lama di Thailand.
Katanya, dengan bekerja dari Thailand, pelancong asing dapat menyumbang kepada ekonomi tempatan menerusi perbelanjaan harian, hotel dan kawasan tarikan pelancong.
“DTV akan memudahkan warga asing yang ingin tinggal di Thailand untuk tempoh yang lebih lama dan bekerja secara jarak jauh,” kata Maris.
Beliau berkata, beberapa hotel di Phuket sudah memperkenalkan pakej khas yang sesuai untuk golongan berkenaan.
Warga asing yang memohon DTV boleh menikmati pengalaman percutian tanpa masalah, dengan proses permohonan visa dipermudahkan dan pilihan untuk tinggal lebih lama di negara ini.
DTV membenarkan warga asing tinggal sehingga 180 hari bagi setiap lawatan, dengan kemungkinan tempoh itu dipanjangkan lagi untuk 180 hari lagi.
Mengenai sistem pengecualian visa sedia ada dan kemungkinan penyalahgunaannya, Maris berkata, Kementerian Luar sedang melaksanakan sistem Pelesenan Perjalanan Elektronik (ETA).
Katanya, sistem itu akan meningkatkan keselamatan dan memperkemas kini prosedur imigresen bagi pengunjung yang mendapat pengecualian visa.
Pemohon ETA akan menerima kod QR unik untuk ditunjukkan kepada pegawai imigresen semasa ketibaan.
Tambah beliau, Kementerian Luar sedang aktif mengadakan rundingan dasar visa pelancong bersama lima negara ASEAN.
Inisiatif itu bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai pelancong mengunjungi rantau ini, selaras dengan skim ‘Enam Negara, Satu Destinasi’ kerajaan untuk mempromosikan Thailand sebagai hab pelancongan serantau.


































