Kebocoran data boleh mendedahkan kepada maklumat pendapatan atau transaksi orang ramai.
JAKARTA: Agensi cukai Indonesia menyiasat dakwaan kebocoran data yang mendedahkan nombor pengenalan melibatkan jutaan pembayar cukai, termasuk Presiden Joko Widodo (Jokowi), anggota Kabinet dan dua anak beliau.
Menurut Utusan Malaysia, satu siri serangan siber melanda syarikat dan agensi kerajaan Indonesia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang dikaitkan dengan kelemahan kerajaan melindungi data peribadi.
Pakar keselamatan siber, Teguh Aprianto memuat naik tangkapan skrin di platform media sosial X semalam, yang mengandungi sampel identiti kebangsaan dan nombor pengenalan pembayar cukai enam juta rakyat Indonesia, termasuk Jokowi serta beberapa menteri.
Beliau berkata, pendedahan data pembayar cukai boleh mencetuskan serangan bersasar oleh operasi penipuan, yang boleh mengakibatkan kerugian.
Menurut Teguh, kebocoran itu juga boleh mendedahkan kepada maklumat pendapatan atau transaksi orang ramai.
Susulan itu, pegawai agensi cukai, Dwi Astuti memaklumkan pihaknya kini meneliti maklumat yang tersebar berkait kebocoran data.
Kebocoran yang didakwa ini susulan serangan ransomware pada Jun lalu, yang melumpuhkan beberapa perkhidmatan kerajaan seperti imigresen dan operasi lapangan terbang utama, mendorong kerajaan untuk menjalankan audit.


































