MISSOURI: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Perkhidmatan Pemeriksaan Pos, Amerika Syarikat (AS) menyiasat asal usul bungkusan mencurigakan yang dihantar atau diterima oleh pegawai pilihan raya di lebih 15 negeri.
Bagaimanapun, tiada laporan mengenai kecederaan atau mana-mana daripada bungkusan itu mengandungi bahan berbahaya.
Menurut Utusan Malaysia, bungkusan baharu dihantar kepada pegawai pilihan raya di Alaska, Colorado, Georgia, Indiana, Kentucky, Massachusetts, Missouri, New York dan Rhode Island.
Jurucakapnya, Kristen Setera berkata, FBI berusaha mengumpul bungkusan itu dengan sebahagian daripadanya mengandungi ‘bahan yang tidak diketahui’.
“Kami juga bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menentukan jumlah surat yang dihantar, individu yang bertanggungjawab terhadap surat itu dan motif di sebaliknya.
“Aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dan kami tidak akan mengulas lanjut mengenai siasatan ini,” katanya.
Untuk rekod, ini adalah kali kedua bungkusan yang mencurigakan dihantar kepada pegawai pilihan raya di beberapa negeri.
Persatuan Setiausaha Negara Kebangsaan mengecam ‘trend gangguan’ itu kerana memberi ancaman kepada petugas pilihan raya menjelang 5 November depan, serta percubaan pembunuhan kedua yang jelas terhadap bekas Presiden AS, Donald Trump.
































