NEW YORK: Syarikat pemilik Facebook, Meta mengumumkan penyekatan RT News, Rossiya Segodnya dan rangkaian media negara Russia yang lain daripada platformnya.
Menurut Utusan Malaysia, tindakan itu dibuat berikutan rangkaian media berkenaan didakwa menggunakan taktik penipuan untuk menjalankan operasi pengaruh rahsia dalam talian.
Perkara itu menandakan peningkatan sekatan syarikat media sosial terbesar dunia itu terhadap media Russia.
“Selepas pertimbangan teliti, kami memperluaskan penguatkuasaan berterusan terhadap saluran media Russia.
“Rossiya Segodnya, RT dan entiti lain yang berkaitan kini diharamkan daripada aplikasi kami di seluruh dunia untuk aktiviti campur tangan asing,” kata syarikat media sosial itu dalam kenyataan.
Penguatkuasaan larangan itu akan dilaksanakan dalam beberapa hari akan datang, termasuk Facebook dan aplikasi Meta lain iaitu Instagram, WhatsApp dan Threads.
Bagaimanapun, Kedutaan Russia dan White House belum menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen berkenaan perkara itu.
Tindakan Meta dibuat selepas Amerika Syarikat (AS) memfailkan tuduhan pengubahan wang haram awal bulan ini, terhadap dua pekerja RT kerana mengupah sebuah syarikat Amerika untuk menghasilkan kandungan dalam talian semasa pilihan raya 2024.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, negara-negara lain perlu menganggap aktiviti RT dan Rusia melakukan operasi risikan rahsia.
RT menyelar tindakan AS dan menuduh negara itu cuba menghalang penyiar berkenaan daripada beroperasi sebagai organisasi kewartawanan.
Menerusi bahan taklimat yang dikongsi dengan Reuters, Meta berkata, pihaknya telah melihat media yang dikawal negara Russia cuba mengelak pengesanan aktiviti dalam talian dan menjangka ada penipuan pada masa depan.
































