Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un keluar dari gerabak ketika tiba di stesen kereta api Khasan, wilayah Primorky semasa lawatan rasminya ke Russia, pada 12 September 2023.
PYONGYANG: Berbeza dengan tokoh dunia lain, diktator Korea Utara, Kim Jong-un lebih memilih untuk menaiki kereta api peribadi berbanding pesawat untuk sebarang perjalanan rasmi kerajaan ke luar negara.
Menurut Utusan Malaysia, baik untuk ke China, Russia atau mesyuarat seperti Sidang Kemuncak Vietnam pada 2019 bersama bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, beliau sanggup menempuh perjalanan selama berhari-hari dengan menaiki kereta api dikenali sebagai Taeyangho.
Akhbar The Mirror melaporkan, bapanya, Kim Jong-Il dan datuknya, Kim Il-Sung juga menaiki kenderaan terbabit yang memiliki 20 gerabak untuk perjalanan ke luar negara.
Sering dibandingkan dengan Air Force One milik Presiden AS, kereta api itu dilengkapi dengan senjata dan perisai yang berat untuk melindungi Kim daripada cubaan membunuh, malah gerabaknya dikatakan kalis peluru dan letupan.
Kereta api itu juga dilengkapi senjata berat seperti dua mesingan, peluru berpandu anti-kereta kebal dan peluru berpandu permukaan ke udara.
Beberapa gerabak Taeyangho turut dikhaskan untuk pasukan keselamatan dan kakitangan perubatan, sementara itu, terdapat gerabak memuatkan dua kereta perisai dan helikopter sekiranya Jong-Un perlu meninggalkan kereta api itu dengan cepat.
Atas tujuan keselamatan, sebuah helikopter akan terbang di hadapan kereta api sepanjang perjalanan dan Pyongyang juga dilaporkan meminta tentera untuk memantau laluan kereta api yang dilalui semasa berada di luar negara.
Semua persenjataan itu melambatkan perjalanan kereta api kepada kira-kira 50 kilometer sejam sahaja, menjadikan perjalanan lebih lama daripada biasa.
Pada 1984, Il-Sung menaiki kereta api tersebut merentasi Russia dan melawat setiap negara dalam Pakatan Warsaw ketika itu sebelum kembali melalui jalan yang sama.
Pada tahun 2001, anaknya Jong-Il, yang dikatakan takut menaiki pesawat, menggunakan kereta api sama dalam perjalanan selama 10 hari ke Russia untuk bertemu Presiden, Vladimir Putin di Moscow.
Malah, perjalanan Jong-Un untuk bertemu Trump di Vietnam pada tahun 2019 difahamkan mengambil masa 65 jam melalui China.
Bagi memastikan keselesaan sepanjang perjalanan, kereta api itu turut dilengkapi bilik tidur, bilik mandi serta restoran mewah yang menyajikan udang karang segar yang dihantar ke kereta api dan wain yang diimport dari Perancis.
































