Penduduk mengalihkan sampah yang dihanyutkan oleh banjir berikutan hujan lebat yang tercetus daripada taufan Yagi di bandar Cainta, timur Manila pada 3 September lepas.
MANILA: Filipina muncul negara paling berisiko terhadap bencana alam buat kali ketiga berturut-turut, menurut laporan Risiko Dunia 2024.
Menurut Utusan Malaysia, Indeks Risiko Dunia yang mengkaji ancaman bencana di 193 negara mendedahkan, Filipina menduduki tempat teratas untuk tiga tahun berturut-turut.
Negara kepulauan dengan hampir 120 juta penduduk ini tidak asing dengan bencana alam, di mana jutaan orang sering dipindahkan semasa ribut dan taufan tahunan, yang semakin sukar diramalkan dan ekstrem akibat perubahan iklim.
Diterbitkan oleh institut penyelidikan berpusat di Jerman, IFHV dan gabungan organisasi pembangunan Bundnis Entwicklung Hilft, lima negara dengan risiko tertinggi tahun ini, termasuk Indonesia, India, Colombia dan Mexico.
Pakar pemuliharaan Filipina dan pemegang amanah pengurusan Masungi Georeserve, Ann Dumaliang berkata, keadaan itu semakin membimbangkan kerana perubahan iklim tidak dapat diramal dan kekuatan taufan semakin memburuk.
“Bencana alam di Filipina bukan sahaja menjejaskan komuniti kecil, bahkan seluruh negara.
“Sekolah terpaksa ditutup, pesakit strok haba memenuhi bilik kecemasan, malah banjir juga semakin teruk,” katanya.
Dumaliang berkata, bulan ini sahaja sebanyak 16 terbunuh apabila Taufan Yagi melintasi tengah dan utara Filipina sebelum menyebabkan kemusnahan di selatan China serta beberapa bahagian Vietnam dan Thailand.
Ini adalah ribut tropika kelima yang melanda negara ini sejak Mei lalu.
Menurut Dumaliang, faktor geografi juga menjadi punca Filipina sering dilanda bencana kerana terletak di Lingkaran Api Pasifik dan garis sesar gempa bumi selain masalah berpunca daripada kegiatan manusia yang menjejaskan alam sekitar.
































