Presiden terpilih, Prabowo Subianto (kanan) dan Presiden Jokowi (tengah) dalam sidang akhbar di hadapan Istana Garuda di Nusantara.
JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) sekali lagi menangguhkan rancangan berpindah ke Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur.
Menurut Utusan Malaysia, ketika bercakap kepada pemberita ketika lawatan ke Yogyakarta Rabu lalu, Jokowi berkata, penangguhan itu dibuat bagi menunggu lapangan terbang di Nusantara beroperasi.
“(Kita) perlu lihat keadaan di lapangan kerana masih banyak perkara yang belum disiapkan, seperti lapangan terbang,” katanya.
Jokowi berkata, apabila berpindah ke Nusantara, beliau memerlukan lapangan terbang berhampiran untuk memastikan kemudahan pergerakan ke pelbagai wilayah di negara ini.
“(Setelah saya berpindah), jika ingin ke Papua, ia perlu dari lapangan terbang di Nusantara. Jika ingin ke Nusa Tenggara Timur juga perlu dari Nusantara dan jika ingin ke Aceh juga perlu dari Nusantara,” katanya.
Ini bukan kali pertama beliau menangguhkan perpindahannya ke ibu kota baharu itu, kerana pada asalnya Jokowi dijadualkan untuk mula bertugas di Nusantara pada Julai.
Namun, rancangan itu terpaksa ditangguhkan kerana infrastruktur penting seperti bekalan air dan elektrik gagal disiapkan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan.
Bagaimanapun, Jokowi sempat bermalam di Istana Presiden Nusantara ketika pentadbirannya sedang bersiap bagi sambutan Hari Kemerdekaan pertama di ibu kota baharu.
Sambutan 17 Ogos lalu dihadiri 1,300 tetamu rasmi termasuk ahli Kabinet, dengan Jokowi mengetuai upacara mengibarkan bendera bersama penggantinya, Prabowo Subianto.


































