Penyerang Brighton, Joao Pedro (kanan) meraikan kejayaannya meledak gol kemenangan bersama Giorginio Rutter ketika menewaskan Manchester United 2-1 dalam aksi liga di Stadium Falmer, malam tadi
BRIGHTON: Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) baru sahaja memasuki dua perlawanan namun Manchester United sudah pun mencatatkan kekalahan apabila tewas 2-1 kepada Brighton di Stadium Falmer, malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, bertandang ke tempat lawan, United memburu tiga mata berharga bagi meneruskan rentak kemenangan mereka selepas menewaskan Fulham 1-0 pada minggu lalu namun keadaan sebaliknya pula berlaku.
Dalam aksi tersebut, tuan rumah terlebih dahulu berada di depan menerusi sepakan kaki kanan penyerang England, Danny Welbeck pada minit ke-32 berpunca daripada gerakan gol Kaoru Mitoma.
Tersentak dengan gol tersebut, skuad kendalian Erik ten Hag mengatur serangan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Amad Diallo meledak gol penyamaan pada minit ke-60 hasil bantuan Noussair Mazraoui.
United berpeluang menambah jaringan menerusi percubaan Joshua Zirkzee pada minit ke-70 namun dibatalkan pengadil kerana berada dalam kedudukan ofsaid.
Ketika permainan seakan-akan berkesudahan seri 1-1, Joao Pedro memastikan tiga mata menjadi milik Brighton apabila menanduk masuk gol kemenangan pada masa tambahan babak kedua.
Selepas ini Brighton akan bertemu Arsenal di tempat lawan pada 31 Ogos ini manakala United menentang Liverpool di laman sendiri pada 1 September.
































