Masiung menyampaikan sumbangan kepada seorang daripada penerima sambil diperhatikan oleh Jalilah.
TONGOD: Golongan pelajar di daerah ini disaran merebut peluang keemasan untuk melanjutkan pendidikan tertinggi hingga ke luar negara menerusi bantuan dana Yayasan Pendidikan Tongod (YPT) yang kini telah tersedia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, dana tersebut belum dipohon olah mana-mana pelajar setakat ini walaupun YPT dilancarkan awal tahun ini.
“Dana tersedia yayasan ini terbuka kepada pelajar cemerlang atau yang telah bekerja untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi,” katanya di majlis aspirasi penyampaian bantuan pelajar tingkatan enam dan kecemerlangan SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Tongod, di sini, semalam.
Seramai 27 pelajar yang telah menamatkan pengajian menengah tingkatan enam atas termasuk dua pelajar cemerlang SPM tahun lalu menerima sumbangan tunai daripada Masiung pada majlis tersebut.
Program itu dianjurkan oleh Biro Pendidikan dan Kerjaya, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuamut yang dipengerusikan bekas seorang pendidik, Jalilah Apiang.
Dalam ucapannya, Masiung berkata, pelajar yang menamatkan pengajian tingkatan enam secara automatik menjadi duta kecil kepada masyarakat.
Katanya, bekas pelajar menengah itu juga hendaklah menjadi ikon perubahan kepada keluarga dan sekaligus menjadi idola generasi muda.
“Sebelum melangkah ke peringkat universiti atau ke alam pekerjaan etika sebagai pelajar yang berjaya hendaklah menjadi aspirasi masyarakat.
“Sebagai golongan muda anda perlu muncul sebagai hero untuk membela maruah daerah Tongod yang kini diletakkan sebagai daerah termiskin di negara ini.”
Pengetua SMK Tongod, Rasilan Rohny dan Yang di-Pertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), Lasjamin Unggat turut hadir.


































