Hajiji menyampaikan Anugerah Pingat Emas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah kepada Mohd. Ibnu Al-Khair Awang Besar (Diploma Dakwah Islamiah).
KENINGAU: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk pembinaan fasa ke-3 IPDAS bagi menampung pertambahan pelajar seramai 300 orang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, pembinaan yang sedang
berjalan itu dijangka siap pada Mac 2026, menjadikan kapasiti sebenar mahasiswa yang boleh ditampung oleh IPDAS Kampus Keningau, kepada seramai 700 orang.
“Saya yakin, dengan pertambahan jumlah mahasiswa itu nanti, IPDAS akan dibekalkan dengan para pensyarah dan tenaga kerja yang terlatih dan mencukupi, bagi memastikan projek ini bukan sahaja mampu memberi kemudahan infra yang lebih kondusif kepada para mahasiswa dan warga kerjanya, bahkan mampu melonjakkan lagi tahap kualiti pendidikan di Sabah.

Hajiji menyampaikan Anugerah Ketua Menteri kepada Nur Syahfinaz Mohd. Isa (Diploma Dakwah Islamiah)
“Saya amat mengalu-alukan langkah Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengambil berat soal menaiktaraf kemudahan pendidikan di Sabah,
khususnya IPDAS,” katanya pada Majlis Istiadat Konvokesyen Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau Kali Ke-18,Tahun 2024 di Dewan Tun Sakaran, IPDAS, di sini, hari ini.
Beliau yakin IPDAS sebagai sebuah institusi Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) di bawah JAKIM berupaya menggalas tanggungjawab melahirkan generasi Rabbani yang berpendidikan tinggi, membentuk modal insan yang berkeupayaan sebagai pendakwah profesional dalam kalangan masyarakat.
Ketua Menteri berkata, istiadat konvokesyen itu juga merupakan simbol kejayaan IPDAS dalam menghasilkan
warga yang berilmu dan bertaqwa, setanding dengan pencapaian institusi pengajian tinggi lain di negara ini.

Hajiji dan tetamu khas lain bergambar bersama para penerima anugerah khas sempena Majlis Istiadat Konvokesyen ke-18 Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Haji Mokhtar, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong, Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin dan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.


































