Hajiji dan tetamu khas lain bergambar bersama para penerima anugerah khas sempena Majlis Istiadat Konvokesyen ke 18 Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau.
KENINGAU: Kerajaan Negeri mempelawa para pelabur datang dan melabur di Sabah dengan tujuan untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi, sekaligus mewujudkan peluang-peluang
pekerjaan kepada anak-anak muda, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Menurutnya, ini juga mendedahkan anak-anak tempatan kepada berbagai jenis latihan, termasuk latihan kemahiran, di samping menggalakkan pemindahan teknologi tinggi untuk dimanfaatkan oleh rakyat negeri ini.
“Ini sebenarnya merupakan aktiviti ke arah pembangunan modal insan, di samping
pembangunan sektor ekonomi negeri seperti yang termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri sekarang,” katanya.
Katanya, dengan adanya para pelabur asing membuka kilang, mendirikan gedung-gedung perniagaan, melabur dalam pelbagai bidang pertanian dan perindustrian akan mewujudkan
peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri akan sentiasa memastikan anak-anak negeri ini dapat meneruskan pengajian hingga ke peringkat lebih tinggi, menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan.
Beliau berkata, ini seiring dengan matlamat Kerajaan Negeri yang memberi keutamaan kepada pendidikan bagi melahirkan modal insan berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi.
“Hanya menerusi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pendidikan tinggi anak-anak kita dapat bersaing dan berjaya sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan Sabah khususnya,” katanya.
Hajiji juga mengingatkan para graduan yang berhasrat menerokai alam pekerjaan agar jangan terlalu memilih kerja dan menginginkan gaji yang besar semata-mata, kerana zaman kini tidak sama seperti zaman dahulu di mana jawatan kosong sentiasa tersedia untuk diisi.
Beliau berkata demikian pada Majlis Istiadat Konvokesyen Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau Kali Ke-18,Tahun 2024 di Dewan Tun Sakaran, IPDAS, di sini, hari ini.


































