Beberapa anggota polis dilihat sedang menjalankan siasatan berhubung kes bunuh seorang warga emas di sebuah rumah di Pekan Darat, Butterworth, Pulau Pinang.
BUTTERWORTH : Cubaan seorang wanita warga emas untuk meleraikan pergaduhan antara dua beranak berakhir dengan tragedi selepas dia maut akibat ditikam dengan gunting dalam satu kejadian di sebuah rumah di Pekan Darat, di sini, pagi kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 80-an dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan sebelum dilaporkan meninggal dunia.
Terdahulu, menurut sumber, berlaku pertengkaran antara anak saudara lelaki mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an bersama ibunya di kediaman terbabit.
“Mangsa yang berada di situ semasa pertengkaran berlaku dikatakan cuba meleraikan pergaduhan terbabit.
“Bagaimanapun, suspek yang tidak berpuas hati kerana mangsa cuba mencampuri urusan dia dan ibunya bertindak mengambil sebilah gunting lalu menikam bahagian kiri kepala mangsa.
“Mangsa yang cedera parah kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan, namun, disahkan meninggal dunia manakala ibu suspek berusia 70-an yang turut mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.
Mengulas lanjut, sumber yang sama memberitahu, suspek turut bertindak memecahkan cermin rumah terbabit sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.
Difahamkan, orang ramai yang terlihat akan kejadian itu turut menghubungi pihak polis dan suspek kemudiannya berjaya ditahan tidak lama kemudian.
Suspek dipercayai memiliki masalah mental, namun, dia difahamkan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
Dalam pada itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan bahawa maklumat lanjut akan menyusul.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


































