PETALING JAYA : Seorang lelaki yang mempunyai enam rekod jenayah termasuk satu kes samun barangan kemas di sebuah pusat beli-belah di Kajang pada 17 Jun lalu maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis kelmarin.
Suspek warga tempatan berusia pertengahan 30-an itu disahkan maut dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pada mulanya, satu pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang melakukan rondaan d kawasan Kajang.
Kata beliau, pasukan berkenaan kemudiannya telah menahan sebuah kereta jenis Perodua di susur masuk Plaza Tol Sungai Balak di Lebuhraya Penyuraian Kajang (SILK).
“Dalam kejadian tersebut, suspek enggan berhenti sebelum bertindak melepaskan tembakan ke arah pihak polis.
“Berikutan itu, pihak polis telah membalas tembakan sebelum suspek disahkan maut akibat terkena tembakan tersebut,” katanya di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, Hussien berkata, seorang anggoya polis turut terkena tembakan bagaimanapun tidak mengalami kecederaan kerana memakai baju kalis peluru.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” jelasnya.


































