PETALING JAYA: Polis menahan seorang paderi selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun di sebuah restoran di Puchong dekat sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kes tersebut kelmarin.
Katanya, mangsa adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun mendakwa diganggu secara fizikal oleh suspek di dalam sebuah bilik tidur gereja di Bandar Bukit Puchong, dekat sini
“Kejadian tersebut berlaku bermula bulan Jun lalu sehingga Julai ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Azlan, siasatan lanjut membawa kepada tangkapan suspek di sebuah restoran di Puchong, semalam.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


































