KINABATANGAN: Seorang kanak-kanak maut manakala, lima mangsa lain cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kampung Paris 2, di sini awal pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, kanak-kanak berusia dua tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superitendan Ravi A/L Duraisamy berkata, kemalangan membabitkan pertembungan dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux dan Proton X50.
Berdasarkan siasatan awal, kereta Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Sandakan menunju ke Lahad Datu sebelum bertembung dengan Proton X50 semasa melalui jalan berselekoh yang mempunyai garis putih berkembar.
“Kereta Proton X50 yang datang dari arah bertentangan telah masuk ke laluan pemanduan di hadapan Totoya Hilux namun, pemandu Toyota Hilux cuba mengelak ke sebelah kiri namun, jarak yang terlalu dekat menyebabkan berlaku pertembungan.
“Pertembungan itu mengakibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut dan pemandu kereta Proton X50 mengalami cedera parah manakala, empat mangsa lain termasuk pemandu Toyota Hilux cedera ringan. Kesemua mangsa dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, mangsa yang parah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


































