Azizi Mat Aris memeriksa perbarisan pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di IPK Perak, Ipoh.
IPOH: Polis menumpaskan sindiket memberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long yang bertindak ganas dengan memecah masuk dan menyamun rumah peminjam selepas menahan tiga individu termasuk seorang wanita dalam dua tangkapan berasingan baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek itu dibuat susulan laporan polis oleh mangsa berusia 20 tahun, Khamis lalu.
Katanya, mangsa yang juga lelaki warga tempatan mendakwa diserang empat individu ketika berada di rumah di Ayer Tawar, Manjung pada pukul 12.30 tengah malam, hari sama.
“Ketika pengadu bersama keluarga dan dua rakan sedang makan, mereka telah terdengar ketukan dari pintu belakang rumah dan sebaik sahaja pintu dibuka, empat individu menyerbu masuk dengan berpakaian hitam, memakai topi keledar dan pelitup muka.
“Seorang daripada suspek yang membawa kayu telah memukul belakang badan pengadu manakala seorang lagi rakannya bertindak mengambil pisau yang ada di atas meja makan dan menoreh belakang badan lelaki itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Luqman Abdul Rahman.
Mengulas lanjut Azizi berkata, berlaku pergelutan antara suspek dan keluarga mangsa ketika mereka menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam bilik.
Katanya, kejadian itu juga menyebabkan kakak dan ibu mangsa serta dua rakannya cedera di bahagian belakang badan, tangan kiri dan kanan serta kaki.
“Kesemua suspek beredar selepas ibu mangsa menjerit meminta tolong dan mereka melarikan diri dengan menaiki dua buah kenderaan iaitu sebuah Toyota Alphard dan Perodua Myvi.
“Jumlah kerugian yang dialami mangsa dan keluarga akibat kejadian itu ialah wang tunai RM5,000 dan tiga unit telefon bimbit,” ujarnya.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, mangsa yang merupakan peniaga jubin itu berjaya mengecam salah seorang suspek sebagai ah long dan dia juga mengakui ada membuat pinjaman sebanyak RM1,000.
“Susulan kejadian itu, seorang wanita berusia 23 tahun ditangkap di Kampar Jumaat lalu diikuti dua lelaki berusia 33 dan 20 tahun di Ayer Tawar, kelmarin yang disyaki terlibat dengan kejadian samun.
“Siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak 2021 dan menyasarkan warga tua dan peniaga kecil di kawasan luar bandar seperti Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” katanya.
Tambah beliau, ketiga-tiga suspek direman enam hari yang berakhir pada Rabu dan Sabtu ini mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.


































