Keir Starmer
LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan langkah selanjutnya susulan rusuhan anti pendatang di negara itu yang semakin buruk.
Menurut Utusan Malaysia, BBC melaporkan, langkah itu dibuat susulan rusuhan bertukar ganas apabila perusuh menyasarkan hotel yang menempatkan penduduk suaka di Rotherham.
Lebih memburukkan, lebih 150 individu telah ditahan pihak berkuasa sejak ketegangan itu meletus sejak minggu lalu dan merebak di beberapa bandar dalam Britain.
Semalam, Starmer yang baharu sahaja menjadi Perdana Menteri UK dalam perutusan khas memaklumkan, beliau berjanji melakukan apa sahaja untuk membawa dalang terlibat ke muka pengadilan.
Rusuhan di beberapa bandar Britain yang berlaku sejak kelmarin sehingga mencederakan polis dan kerosakan harta benda awam disifatkan paling besar sejak 13 tahun yang berpunca daripada kejadian pembunuhan tiga gadis di barat laut England, hujung Julai lalu.
Suspek, Axel Rudakubana yang didakwa atas beberapa tuduhan membunuh dan cubaan membunuh berhubung serangan di kelas tarian bertemakan Taylor Swift.
Rudakubana didakwa membunuh Bebe King yang berusia enam tahun, dua lagi kanak-kanak berusia tujuh dan sembilan tahun, Elsie Dot Stancombe dan Alice Dasilva Aguiar dan mencederakan 10 yang lain.
Menurut polis, rusuhan itu berkaitan keganasan ke atas penyokong dan pertubuhan berkaitan Liga Pertahanan Inggeris, sebuah pertubuhan anti-Islam yang ditubuhkan 15 tahun lalu yang penyokongnya dikaitkan dengan hooliganisme bola sepak.
Kumpulan pemprotes menyasarkan masjid di Southport dan di bandar Sunderland di timur laut Inggeris, mendorong ratusan pusat Islam meningkatkan keselamatan atas kebimbangan terhadap keselamatan jemaahnya.