Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraikan kemenangan dalam perlawanan suku akhir badminton beregu lelaki menentang India semasa Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte de la Chapelle.
PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada dilandasan tepat untuk memburu pingat emas pertama Malaysia selepas menempah slot ke separuh akhir pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, pasangan yang baharu sahaja melonjak ke ranking No. 3 dunia, minggu ini, beraksi cemerlang apabila berjaya mengetepikan gandingan handalan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 13-21, 21-14, 21-16 dalam masa 1 jam 4 minit di Arena Porte De La Chapelle.
Kemenangan itu juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik akhirnya berjaya menamatkan badi tiga kekalahan berturut-turut di tangan Rankireddy-Shetty dengan kembali melebarkan rekod pertemuan kepada 9-3.
Selain Aaron-Wooi Yik, beregu wanita Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah terlebih dahulu telahpun melayakkan diri ke separuh akhir selepas mengalahkan pasangan No. 10 dunia, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan 21-12, 21-13.
Aaron-Wooi Yik yang juga merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun sekali lagi bakal menghitung pertembungan dengan pilihan pertama, Liang Wei Keng-Wang Chang pada separuh akhir.
Gandingan negara itu yang tewas straight set 22-24, 14-21 dalam aksi terakhir Kumpulan A kepada beregu China tersebut berpeluang menebus kekalahan itu bagi mengintai tempat ke perlawanan akhir dan sekali gus, memastikan impian pingat emas Malaysia berada di landasan tepat.
Wei Keng-Wang Chang mara ke separuh akhir selepas menumpaskan beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 24-22, 22-20 dalam satu lagi perlawanan peringkat lapan terbaik.
































