JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Taman Daya, di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 9.16 malam Rabu ketika penjaga kanak-kanak berkenaan sedang menunaikan solat.
Menurutnya, mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
“Hasil siasatan mendapati, mangsa bersama keluarganya baharu selesai beriadah di kolam renang kediaman itu. Setelah mereka pulang ke rumah, ibu kanak-kanak itu bersama-sama ahli keluarga lain mengunjungi pusat dobi.
“Mangsa ditinggalkan dengan pasangan suami isteri berusia 56 dan 78 yang merupakan ahli keluarga terdekat di kediaman itu. Kanak-kanak itu kemudian ditinggalkan bersendirian di ruang tamu ketika pasangan itu menunaikan solat.
“Selepas pasangan itu selesai solat, mereka mendapati kanak-kanak berkenaan tiada di ruang tamu dan dipercayai telah jatuh ke tingkat lapan dari tingkap terbuka di sebuah bilik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini kelmarin.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu boleh menghubungi Hotline Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan menerusi talian 07-2182323.


































