Aksi pemain skuad B-19 ketika menentang Australia dalam penentuan tempat ketiga keempat Kejuaraan B-19 AFF 2024.- Ihsan FAM
PETALING JAYA: Prestasi skuad bawah 19 tahun (B-19) negara sepanjang saingan Kejuaraan B-19 AFF 2024 menunjukkan perkara positif, malah beberapa pemain muda turut menyerlah dan berpotensi dipanggil beraksi bersama skuad Harimau Malaya.
Meskipun menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas tumbang 5-3 menerusi sepakan penentuan penalti di tangan juara lima kali, Australia pada aksi penentuan tempat ketiga namun secara keseluruhan gaya permainan diperagakan pasukan muda negara dibawah kendalian Juan Torres Garrido boleh dibanggakan.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu diakui bekas kapten Harimau Malaya Shahrom Kalam, berkata secara keseluruhan prestasi pasukan cukup baik walaupun gagal mempertahankan kejuaraan dimenangi pada edisi lalu selepas persiapan singkat dilakukan berbanding pasukan lain.
Jelasnya, penyertaan di kejohanan itu juga adalah pendedahan terbaik buat pemain muda meraih pengalaman di peringkat antarabangsa.
“Skuad bawah 19 tahun negara dapat pendedahan yang cukup baik dalam kejohanan AFF ini. Banyak peningkatan ditunjukkan mereka terutama daripada segi pemahaman taktikal dan corak permainan menarik ditampilkan dalam setiap perlawanan.
“Walaupun kita kalah dan gagal mempertahankan kejuaraan tetapi dalam perlawanan separuh akhir dan tempat ketiga kita bukanlah tewas dengan jumlah jaringan yang banyak. Jadi itu menunjukkan jurang kita dengan pasukan lawan tidak terlalu jauh.
“Malah, kita dapat lihat pemain seperti Haziq Aiman (Mohd Esa),Naim Zainudin, Muhammad Abu Khalil dan beberapa pemain lagi adalah masa depan bola sepak negara dan mungkin mereka boleh diberikan peluang beraksi bersama skuad senior,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Skuad muda negara terpaksa berpuas hati dengan menamatkan saingan Kejuaraan B-19 AFF 2024 di kedudukan keempat sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lalu.
































