PETALING JAYA: Seramai lapan individu telah dirakam keterangan berkaitan kes seorang wanita ditemukan rentung di pangsapuri di Taman Lembah Maju, Ampang dekat sini, Sabtu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya telah memanggil dan merakam keterangan lapan saksi bagi membantu siasatan.
“Kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian dan mengesan jika terdapat sebarang elemen jenayah lain yang berlaku dalam insiden itu.
“Hasil bedah siasat yang telah dijalankan ke atas wanita itu oleh Unit Forensik Hospital Tuanku Muhriz mendapati punca kematian disebabkan terhidu asap berlebihan dan luka kebakaran,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Menurutnya, seorang lelaki yang dipercayai kekasih kepada mangsa turut cedera dalam kejadian itu masih belum sedar dan dirawat di Hospital Ampang.
Media sebelum ini melaporkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian kebakaran di sebuah pangsapuri di Taman Lembah Maju, Ampang dekat sini sehingga mengakibatkan seorang wanita ditemukan rentung.
Dalam kejadian pukul 9.44 malam itu, seorang wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lelaki mengalami kecederaan di bahagian kaki, tangan serta muka.
Difahamkan mereka adalah pasangan kekasih di mana ketika kejadian berlaku lelaki itu baru pulang dari tempat kerja dan cuba menyelamatkan mangsa namun gagal menyebabkan dirinya turut melecur.
Mohd.Azam Ismail berkata, siasatan khianat dengan api terhadap harta benda dibuka kerana disyaki mangsa melakukan khianat sehingga menyebabkan kebakaran manakala satu kertas siasatan sebagai SDR turut dibuka.
Katanya, pihaknya menerima panggilan pada 9.44 malam dimaklumkan kejadian kebakaran di tingkat bawah di kawasan Taman Lembah Maju dekat sini.
































