Tangkap layar video menunjukkan remaja berusia 14 tahun memandu kereta bersama dua kanak-kanak lain dalam video tular.
PETALING JAYA: Polis sedang mengesan keluarga kepada tiga kanak-kanak yang memandu kereta di kawasan perumahan tanpa ditemani orang dewasa dalam video yang tular di aplikasi WhatsApp.
Menurut Utusan Malaysia, dalam video berdurasi satu minit 49 saat itu menunjukkan wanita menegur remaja lelaki berusia 14 tahun yang memandu kereta Perodua Viva.
Ketika diperiksa, mendapati remaja itu bersama dua lagi kanak-kanak dipercayai adiknya memandu kereta tu.
Malah difahamkan itu bukan kali pertama berlaku dan sudah beberapa kali remaja terbabit memandu kereta itu namun lokasinya masih belum diketahui.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya sedang membuat semakan sama ada laporan polis sudah dibuat atau belum.
“Kita juga akan mengesan keluarga kanak-kanak terbabit untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
































