Vivian Wong Shir Yee
SANDAKAN: Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Vivian Wong Shir Yee mahu Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menarik balik kenyataan palsu beliau mengenai mendiang ayahnya, Datuk Stephen Wong yang dikatakan pernah ingin melompat parti.
Beliau berkata, kenyataan Mohd. Shafie itu dilihat tidak rasional dan hanya mahu mencapai kepentingan parti serta agenda peribadi beliau sendiri sahaja.
Vivian yang juga Ahli Parlimen Sandakan mahu Mohd. Shafie berjanji untuk tidak menyebarkan maklumat tidak benar tersebut dalam apa-apa kesempatan termasuk ceramah politik.
Beliau membuat kenyataan tersebut setelah mengetahui bahawa Mohd. Shafie ketika berucap melalui siaran langsung di Facebook pada Majlis Ramah Mesra Parti Warisan Bersama Kaum Cina di Restoran Kenalanmu Seafood Sandakan, secara terbuka mengeluarkan kenyataan palsu dan mengelirukan bahawa mendiang Datuk Stephen Wong pernah berniat untuk melompat ke parti tersebut.
Pada masa yang sama, Vivian dan keluarganya juga menyatakan bahawa mereka berhak untuk mengambil segala tindakan undang-undang yang diperlukan dan meminta Mohd. Shafie serta para ahlinya agar berwaspada dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak mengganggu ketenangan pihak berkenaan demi mencapai agenda peribadi dengan menyebarkan kenyataan palsu ini.
Vivian menegaskan bahawa ayahnya, mendiang Datuk Stephen Wong adalah seorang pemimpin yang setia dan berintegriti yang telah berjuang demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan Sabah sehingga saat terakhirnya.
“Mohd. Shafie tidak sepatutnya menjadikan perkara ini sebagai topik untuk propaganda yang dianggap tidak menghormati mendiang dan rakan pimpinannya,” kata Vivian.
Menyatakan ayahnya amat membenci pengkhianatan terutama daripada rakan seperjuangan, Vivian berasa sangat kecewa dan sedih dengan tindakan Mohd. Shafie yang tidak matang dan hanya cakap lepas sahaja.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2020, DAP pernah menjadi sekutu yang bersama-sama mempertahankan kuasa di Sabah.
“Tetapi pada Pilihan Raya Umum 2022, kami dikhianati, di mana bekas sekutu kami terus bertanding di kawasan pilihan raya DAP dan hal ini sangat dikesalkan.
“Selain itu, Mohd.Shafie juga pernah menerima lompat parti Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Elopura, Calvin Chong, yang seolah-olah telah mengkhianati rakan seperjuangan.
“Kini, tanpa rasa segan, beliau menyebarkan kenyataan palsu mengenai mendiang ayah saya yang sangat tidak beretika.
“Di sini, saya menasihatkan Mohd. Shafie, sebagai pemimpin parti, agar berpegang pada prinsip integriti dalam menjalankan tugas dan bersama-sama mengemukakan dasar yang berkesan demi kesejahteraan rakyat Sabah,” kata Vivian.
Beliau berasa sangat kecewa dan sedih apabila seorang pemimpin Sabah yang dihormati kini menggunakan propaganda palsu untuk mengelirukan masyarakat yang bijak, serta mencemarkan kepercayaannya sendiri.