Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin – Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR: Peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) siri 3.0 tidak akan melalui latihan intensif seperti latihan ketenteraan perlu dilalui oleh anggota tentera sebenar.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, modul kenteraan yang mencakupi 70 peratus pengisian PLKN baharu itu sebaliknya menekankan aspek-aspek disiplin diri.
Menurut beliau, ia akan membantu membina nilai diri seperti pengurusan masa, kebersihan, kepatuhan kepada peraturan, keupayaan untuk melakukan tugasan secara berkumpulan dan ketahanan dalam melakukan sesuatu tugasan secara bertanggungjawab.
“Ia akan turut melibatkan pendedahan dan penerangan berkenaan dengan dasar-dasar pertahanan negara.
“Kesemua elemen ini adalah kritikal dalam membentuk generasi muda yang berwibawa, matang serta berketahanan,” katanya semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, kelmarin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Abdul Halim Suleiman yang bertanya apakah rasional meletakkan modul latihan ketenteraan sebanyak 70 peratus dan modul kenegaraan hanya 30 peratus dalam PLKN 3.0.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, penekanan sehingga 70 peratus modul itu berasaskan kepada dapatan libat urus dengan pelbagai pihak yang memberi maklum balas tentang sikap dan perilaku golongan muda masa kini.
Jelasnya, golongan muda kini perlu dibentuk dengan nilai-nilai keutuhan diri yang lebih meluas dan tegas.
“(Malah), kita berhasrat menjadikan PLKN yang baharu ini sebagai satu medium mendedahkan tentang realiti serta keistimewaan kerjaya pertahanan,” katanya.
Tambahnya, asbab kerajaan melebihkan elemen ketenteraan dalam PLKN baharu adalah kerana ia merupakan pendedahan yang tidak boleh diperoleh sepanjang masa.
“Sebaliknya, elemen-elemen seperti cintakan negara, jati diri dan perpaduan, sememangnya sudah sering menjadi fokus dan diberikan perhatian di pelbagai peringkat termasuklah di peringkat sekolah,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan, PLKN dengan konsep dan format baharu untuk semua remaja warga negara Malaysia yang berumur 17 tahun dan ke atas akan bermula pada tahun 2025.
Ia akan melibatkan tiga fasa bermula dengan Fasa Pra PLKN yang akan diperkenalkan di peringkat sekolah iaitu melibatkan pelajar-pelajar tingkatan 4 semasa kegiatan ko-kurikulum sebagai persiapan mereka menjalani latihan khidmat negara selepas berusia 17 tahun.
Fasa seterusnya iaitu Fasa Asas remaja yang berusia 17 tahun dan ke atas akan dipilih untuk menjalani latihan asas di 13 buah kem Askar Wataniah di seluruh negara, 20 buah universiti awam, dan beberapa politeknik.
Selanjutnya, Pelatih PLKN juga diberi peluang untuk menjalani latihan lanjutan pada Fasa Lanjutan iaitu modul bagi setiap latihan dibangunkan khusus untuk anggota angkatan tetap, angkatan simpanan dan sukarelawan.
Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan menyasarkan untuk melaksanan fasa Pra PLKN dan Program Perintis PLKN mulai Jun 2025.
“Fasa Latihan asas di 13 buah Kem Askar Wataniah pula dijangka akan dimulakan seawal bulan April 2026, dan latihan asas di IPTA dan Politeknik dijangka bermula semasa pengambilan pelajar sesi Akademik 2026/2027,” katanya.


































