Albertine Leo Jia Hui hingga kini masih belum ditemukan sejak hilang malam Sabtu lalu.
JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan yang hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri, Sabtu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 28 hingga 55 tahun ditahan kira-kira pukul 1.30 petang kelmarin di Gelang Patah, Iskandar Puteri.
Walau bagaimanapun, kanak-kanak perempuan itu, Albertine Leo Jia Hui, 6, masih belum ditemukan.
“Setakat ini, kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di Eco Galleria, Sabtu lalu masih belum ditemui. Polis akan terus menjalankan siasatan lanjut.
“Sementara itu, ketiga-tiganya suspek yang ditahan hari ini (kelmarin) akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Kehilangan Jia Hui mencuri tumpuan apabila kanak-kanak itu belum ditemukan hingga kini.
Dia disedari terpisah daripada keluarga dan didapati hilang kira-kira pukul 8.30 malam, Sabtu lalu semasa Festival Bon Odori Johor berlangsung di pusat beli-belah itu.
Menurut Kumar, pihaknya telah mengklasifikasikan semula kes itu di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, iaitu menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Sebarang maklumat tentang kejadian boleh disalurkan menerusi talian hotline Polis Johor 019-2792095 atau Bilik Gerakan 07-2212999.

































