PUTRAJAYA: Enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dijatuhi hukuman gantung kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali. Kesemuanya kini berusia 28 tahun.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan keenam-enamnya serta mengetepikan hukuman penjara 18 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Mahkamah sebaliknya membenarkan rayuan pendakwa raya agar perayu-perayu dijatuhi hukuman gantung manakala Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sebelum ini dipertuduhkan terhadap mereka, dikembalikan.
Beliau yang bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang meminda pertuduhan daripada Seksyen 302 kepada Seksyen 304(a) kerana menyebabkan kematian Zulfarhan.
Panel itu turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap 12 bekas penuntut lain kerana mencederakan Zulfarhan. Hukuman itu dinaikkan daripada tiga tahun yang diputuskan sebelum ini.
Kesemua 12 mereka ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd. Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.
Perbuatan mencederakan Zulfarhan dilakukan di dalam sebuah bilik blok penginapan Asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi 21 Mei 2017 manakala mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Kesalahan menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat dilakukan di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.


































