Gambar yang dimuat naik pengguna media sosial memaparkan suasana sesak di KLIA 2 petang tadi kerana gangguan IT yang menjejaskan perkhidmatan di seluruh kaunter daftar masuk.
PUTRAJAYA: Sebanyak 13 agensi di bawah Infrastruktur Maklumat Nasional Kritikal (NCII) turut terjejas ketika insiden gangguan teknologi maklumat (IT) global yang berlaku kelmarin.
Antara yang mengalami gangguan ialah sistem penerbangan AirAsia, beberapa agensi kerajaan tetapi semuanya hampir pulih sepenuhnya.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Eksekutif (CE) Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin bagaimanapun memaklumkan, insiden tersebut bukan serangan siber, sebaliknya hanya menyebabkan kegagalan sistem organisasi.
“Kami memantau setiap agensi yang terkesan supaya impak dalam aspek keselamatan siber dapat diminimumkan.
“Saya percaya AirAsia telah mengaktifkan Business Continuity Plan (BCP) yang membolehkan mereka boleh terus memberi perkhidmatan kepada pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam insiden gangguan IT global itu kelmarin, AirAsia mengesahkan sistem daftar masuk dan tempahan utama terjejas. Bagaimanapun sistem penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) tidak terjejas.
Dilaporkan berlaku gangguan perjalanan di seluruh dunia susulan gangguan IT yang dikaitkan dengan firma keselamatan siber global Crowdstrike iaitu sebuah syarikat teknologi keselamatan siber Amerika yang berpangkalan di Austin, Texas.
Dalam pada itu, Megat berkata, insiden gangguan IT itu turut ada kesan sampingannya apabila terdapat laman web phishing yang muncul seolah-olah sebagai laman web yang memberi maklumat berkaitan insiden ini.
Phishing ialah satu kaedah pancingan bagi melaksanakan penipuan untuk mendapatkan maklumat peribadi seperti perbankan orang lain melalui laman web palsu yang menyerupai laman web asal.
Bagaimanapun, beliau berkata, kemunculan laman web phishing itu sebenarnya bertujuan memancing pengguna untuk klik atau memuat turun sesuatu fail dan seterusnya mendedahkan mereka kepada ancaman siber.
Jelasnya, NACSA telah menyediakan rujukan nasihat di portal agensi itu untuk rujukan semua pihak di https://www.nc4.gov.my/alert/ 669a66e5900838eb8f40e744 di samping menyediakan Indicator of Compromise dengan senarai laman web phishing di https://git.osdec.gov.my/NACSAmalaysia/crowdstrike-ioc
































