SHAH ALAM: Polis menahan enam termasuk tiga anggotanya kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah amanah iaitu mencuri bahan api jenis kerosin Jet-A1.
Kejadian tersebut berlaku di dalam Pangkalan Udara Semenanjung, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini pada Isnin lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 31 hingga 55 tahun dan anggota terlibat merupakan pegawai rendah bertugas di dalam pangkalan udara tersebut.
“Polis menerima laporan kehilangan bahan api berkenaan pada 15 Julai lalu. Berdasarkan laporan diterima, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah jenayah.
“Susulan siasatan, pada Selasa lalu, polis membuat tangkapan ke atas enam lelaki tiga daripada merupakan pegawai rendah,” katanya kepada pemberita, kelmarin.
Tambahnya, kesemua suspek direman antara dua hingga tujuh hari dari tarikh tangkapan selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Rabu.
Tegas Hussein, polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang walaupun kes membabitkan penglibatan pegawai dan anggota polis.


































