RAUB: Seorang pekebun Musang King cedera di kepala dan siku kiri ditetak sekumpulan lelaki yang menceroboh kebunnya di Bukit Nanyang, Sungai Ruan di sini.
Menurut Utusan Malaysia, adik mangsa, Huang Jia Xing, 40, berkata, abangnya itu ditetak dua kali dan kini masih mendapat rawatan di Hospital Kuala Lipis.
Menurutnya, sebelum kejadian pada pukul 11 malam semalam, Jia Bao, 44, pergi ke kebun selepas menerima panggilan pekerjanya yang memaklumkan sekumpulan lelaki masuk ke situ.
“Ketika terserempak dan bertanya kepada kumpulan lelaki itu, salah seorang daripada mereka mengeluarkan parang dan menetak kepala abang dan satu tetakan lagi di siku. Melihat abang cedera kumpulan itu melarikan diri,” katanya di sini.
Kata Jia Xing, beberapa rakan yang mengekori menemui abangnyanya rebah dan berlumuran darah.
Pengerusi Perikatan Penyelamat Musang King, Zheng Yi Qing berkata, adik mangsa bersama kira-kira 40 pekebun Musang King sudah membuat laporan polis berhubung kejadian pencerobohan kebun durian di situ.
Beliau berkata, pemilik kebun durian mendakwa sejak akhir-akhir ini ramai individu tidak dikenali berada di kawasan Sungai Klau, Sungai Ruan, Sungai Chalit, Tras, Sungai Chetang dan Sang Lee sehingga menimbulkan ketakutan kepada pekebun.
“Kes kecurian juga menjadi-jadi apabila bukan sahaja durian dicuri malah penjenayah juga mencuri pam air, mesin pemotong rumput dan peralatan pertanian,” katanya.
































