Razarudin Husain
PETALING JAYA: Orang awam tidak perlu menunggu sehingga 24 jam untuk melaporkan sebarang kes kehilangan ahli keluarga atau kenalan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dakwaan perlu menunggu sehingga 24 jam selepas kehilangan adalah mitos yang sering disebarkan banyak pihak tanpa asasnya.
“Tidak ada ketetapan atau undang-undang yang memaksa anda bersabar, bertenang atau bertahan dalam tempoh panjang.
“Ada yang kata perlu tunggu sampai 24 jam, 48 jam hingga 72 jam dalam keadaan gementar serta gemuruh. Ini mitos semata,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, sekiranya sudah melakukan pencarian orang yang dipercayai hilang atau cuba menghubungi namun gagal, jadi pihak berkaitan diminta segera ke balai polis.
Katanya, ini sebagai langkah awal mengelakkan suatu insiden buruk berlaku terhadap individu yang dilaporkan hilang.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar masyarakat terus memainkan peranan membantu menyalur maklumat mengenai kes orang hilang.
“Peranan masyarakat sangat dihargai dalam membantu pihak polis.
“Saluran di pelbagai medium kita hebahkan berkait kes orang hilang untuk orang awam bersama kita membantu siasatan kes,” ujarnya.
Baru-baru ini tular pertanyaan daripada warganet mengenai prosedur operasi standard (SOP) mengenai laporan polis yang perlu dibuat berkaitan kes orang hilang.

































