Pau Marti Vicente merupakan pembantu Kim Pan Gon dalam skuad kebangsaan sebelum ini.
PETALING JAYA: Dua kejohanan akan menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) buat pemangku Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente untuk dinilai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi berkata, prestasi Pau Marti akan dinilai dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2024, September depan dan kejohanan Piala AFF 2024 hujung tahun ini.
Jelasnya,FAM tidak akan mencari ketua jurulatih baharu dalam masa terdekat kerana berpendapat jurulatih kelahiran Sepanyol itu mampu menggalas tugas ditinggalkan Kim Pan Gon.
“Dengan ketiadaan beliau (Pan Gon) tentu sekali jawatan ini perlu diisi oleh jurulatih lain tetapi kita telah berbincang dan akhirnya Pan Gon hanya pergi seorang dan jawatan ini akan diisi oleh penolong julatih sekarang iaitu Pau Marti yang akan menjadi pemangki ketua jurulatih pasukan kebangsaan.
“Pasukan ini semua(barisan kejurulatihan) akan ada… yang tidak ada hanya Pan Gon seorang kerana mereka masih ada kontrak hingga Disember tahun depan.
“Sudah pasti tugasan pertama Pau Marti selaku pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya ialah untuk mengemudi pasukan bagi pertandingan Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada September ini dengan disertai tiga pasukan lain iaitu Tajikistan, Lebanon dan Filipina.
“Pada masa yang sama, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan-pasukan Kebangsaan FAM akan terus menilai dan memantau prestasi skuad Harimau Malaya dari semasa ke semasa di bawah kendalian Pau Marti ini terutama menjelang Piala AFF 2024 pada November dan Disember ini serta Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan,” kata Yussof.
Untuk rekod, Pan Gon hadir sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan pada Januari 2022 dan pelbagai kejayaan dicapai seperti mara ke Piala Asia buat pertama kali secara merit dan peningkatan ranking FIFA.
Sementara itu, menurut sumber dalaman FAM berkata, jika Pau Marti menunjukkan prestasi baik pada PestaBola Merdeka, dia berpeluang dilantik menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya.
“Kita kena tengok prestasi dia dahulu dan buat masa ini dia ditugaskan sebagai pemangku. Namun dia berpeluang besar dilantik secara rasmi menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya jika menunjukkan prestasi yang bagus,” jelas sumber berkenaan.
Selain Pau Marti, kedudukan staf kejurulatihan yang lain kekal termasuk E Elavarasan selaku penolong ketua jurulatih, Park Bobae (penolong jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Jihyeon Park (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).






























