Nik Nazmi Nik Ahmad
PETALING JAYA: Purata suhu permukaan di Semenanjung Malaysia menunjukkan peningkatan 0.24 darjah Celsius per dekad.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, purata suhu bulanan di Semenanjung Malaysia pada Mei 2024 adalah 28.8 darjah Celsius, manakala purata suhu bulanan pada Mei 1974 iaitu 50 tahun lalu adalah 26.6 darjah Celsius.
Katanya, kesan perubahan terhadap purata suhu permukaan di Semenanjung boleh didorong faktor semula atau aktiviti manusia.
“Peningkatan suhu ini dipengaruhi pelbagai faktor iaitu faktor semula jadi dan kesan daripada aktiviti manusia. Faktor semula jadi adalah seperti perubahan iklim global dan perubahan pola cuaca.
“Peningkatan pelepasan gas rumah kaca di atmosfera secara global menyebabkan perubahan iklim yang memberi kesan terhadap peningkatan suhu global dan impaknya dapat juga dirasakan di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai purata suhu di Semenanjung Malaysia sekarang berbanding 50 tahun lalu selain sebab mengakibatkan perubahan itu.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, perubahan pola cuaca seperti perubahan hujan dan musim pula boleh mempengaruhi suhu tempatan.
“Aktiviti manusia seperti penebangan hutan, pertanian dan pembangunan infrastruktur menyebabkan hilangnya kesan penyejukan semula jadi, mengubah aliran air semula jadi dan iklim tempatan yang turut menyumbang kepada peningkatan suhu,” katanya.


































