Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi harapan untuk membutirkan pingat di Sukan Olimpik paris 2024. – Utusan/Shiddieqiin Zon
PETALING JAYA: Beregu No.1 negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik boleh menarik nafas lega apabila berjaya mengelak daripada berada dalam kumpulan maut di Sukan Olimpik Paris 2024.
Diundi dalam Kumpulan A, halangan terbesar bekas juara dunia 2022 itu adalah gandingan No.1 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Sementara dua lagi regu, Ben Lane-Sean Vendy dari England dan pasangan Kanada, Dong Adam-Nyl Yakura seharusnya tidak menjadi masalah buat Aaron-Wooi Yik.
Menurut Utusan Malaysia, Aaron juga menyifatkan Kumpulan D sangat sukar berikutan dibarisi pasangan terbaik dunia iaitu juara bertahan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, Kim Astrup-Anders-Skaarup Rasmussen (Denmark), Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China).
“Saya rasa undian kali ini standard dan seperti biasa untuk kami namun saya merasakan Kumpulan D jelas lebih sukar dari kami (Kumpulan A).
“Sekarang, kami hanya fokus melakukan persiapan dalam fasa terakhir latihan sebelum Paris 2024 bermula. Itu objektif kami mahu menangani jaguh dari China itu,” kata Aaron.
Sementara itu, Aaron mendedahkan kem latihan Olimpik kali ini lebih baik berbanding edisi 2020 di Tokyo, sekali gus dapat memberinya pecutan akhir dalam latihannya.
“Saya rasa tahun ini lebih bagus dari sebelum ini (Tokyo 2020). Kem latihan ini tidak ramai orang jadi kami lebih fokus menjalani latihan. Di sini agak senyap dan kami merasakan kami sahaja berlatih di sini,” jelas Aaron.
Kem badminton negara kini berkampung di Kompleks Sukan Aire Sur La Lys bagi persiapan dan kem latihan akhir sebelum saingan bermula pada 27 Julai ini.


































